Review Buku | Menyingkap Tirai Syukur | Lambang Sebuah Impian

Menyingkap Tirai Syukur 

Assalamualaikum w.b.t. & Salam Sejahtera,

Lama benar saya tidak mengulas buku di Saljuhumairah. Dah tak ingat judul buku terakhir yang telah saya posting.  Entry ini khusus untuk memperkenalkan sebuah buku ringkas yang sangat bermakna dalam kehidupan saya dan keluarga. Kerana ada kisah untuk dikenangkan.  Buku ini diterbikan oleh Mustread Publication berjudul Menyingkap Tirai Syukur.

~ ~ ~ ~ 

Kenangan


Terkenang 19 tahun lepas ketika saya masih di  Sek. Keb. Gunung Semanggol, Perak.  Waktu tersebut masih lagi di darjah tiga (3).   Abang telah menerbitkan naskah komik hasil lukisan sendiri.  Hanya menggunakan dua (2) helai kertas A4 yang dilipat dua (2) menjadikan empat (4) muka surat bercetak.  Semua proses penerbitan dilakukan sendiri tanpa bantuan siapa pun melainkan urusan percetakan yang terpaksa memohon bantuan abah untuk photocopy di sebuah kedai cina di pekan Gunung Semanggol (waktu tersebut yang sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan percetakan di kawasan kami).  Nak pergi photostat sendiri tak pandai.

Komik ringkas tersebut hanya dipasarkan kepada rakan-rakan sedarjah di sekolah dengan harga RM0.20 - RM0.50 senaskah.  Ada juga cikgu yang membeli, terasa sangat dihargai usaha beliau. Masih ingat lagi, saya pernah menyumbangkan idea lawak bagi mengisi ruang kartun lawak yang bertajuk "Tok Misai" didalam komik tersebut. Sempat juga beberapa isu diterbitkan kerana permintaan rakan-rakan agak menggalakkan (tak ingat berapa). Sungguh tidak sangka.

Masuk sekolah menengah, beliau berjaya mendapatkan tempat ke Sekolah Asrama Penuh Izzuddin Shah, Ipoh Perak berdasarkan keputusan UPSR yang cemerlang.  Pengalaman, minat dan bakat yang ada di sekolah rendah diteruskan lagi dengan berniaga kecil-kecilan di bilik asrama sekolah.  Alhamdulillah, sambutan agak menggalakkan.  Tetapi usaha tersebut tidak lama kerana beliau memberi tumpuan kepada pelajaran.

Kami pernah menanam impian bersama ketika itu untuk menerbitkan buku yang lebih berguna untuk masyarakat bagi dipasarkan secara umum.  Harapan tersebut hanyalah suka-suka.  Langsung tidak terfikir untuk menjadikannya realiti.

Tahun demi tahun berganti, kami membawa haluan sendiri walaupun pernah pelajar di Universiti dan tempat yang sama iaitu Shah Alam.  Masing-masing punya matlamat hidup dengan segulung ijazah yang telah digenggam. 

~ ~ ~ ~ ~


Hari ini, saya mendapat panggilan mengejut dari beliau untuk menyatakan berita gembira. 

"Assalamualaikum angah, buat apa?" along memberi salam.

"Walaikumussalam w.b.t. tak buat apa, rehat-rehat dengan Umaira, penat, baru habis program pelajar STPM" saya menjawab jujur

"Nak bagitau, buku abang dengan Mustread dah terbit.." saya dapat gambarkan senyuman yang terukir.

~ ~ ~ ~ ~

Setelah berbual agak panjang, saya terus on laptop dan membuat carian tajuk buku di google. Terjumpa laman web Mustread Publication.  Tiga kali saya membaca sinopsis untuk kepastian. Sungguh tak sangka, Impian dan harapan yang dulunya sekadar suka-suka berbual bicara, kini ia menjadi nyata.

Tahniah! Khusus untuk Along diatas karya sulung beliau. Langkah pertama untuk jalan yang lebih bermakna.  

Saya bersyukur, akhirnya buku hasil karya beliau dapat diterbitkan juga.  Beliau turut memaklumkan senaskah lagi buku akan diterbitkan dengan kerjasama penulis indie Mohd Faisal Othman @ Dhani Ahmad.  Buku tersebut masih lagi dalam proses editing.  Buku ini akan diterbitkann sendiri tanpa bantuan syarikat penerbitan bagi menyambung usaha dulu yang terbantut.  Objektif utama adalah, menyebarkan maklumat supaya masyarakat tidak buta ilmu.  Saya berdoa, semoga ia dipermudahkan.

Menyingkap Tirai Syukur | Faizal Mohamad Twon Tawi


Sedikit pengenalan tentang karya sulung Along.

 
Tajuk: Menyingkap Tirai Syukur

Penulis: Faizal Mohamad Twon Tawi
Penulis merupakan seorang pensyarah di Politeknik. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional. Beliau mula menjalankan tugas di Politeknik Ungku Omar pada tahun 2007 dan berpindah ke Politeknik Seberang Perai pada tahun 2010 sehingga kini. Cenderung menulis artikel barkaitan agama dan motivasi dalam blog. Boleh melayari http://fmtt.blogspot.com.

ISBN: 978-967-0392-12-7

Harga : RM 12.90 / RM 15.90

SINOPSIS

Bersyukur merupakan perbuatan yang dituntut oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Malahan, seluruh makhluk menyenangi orang yang mempunyai sifat mulia ini.

Lantaran itu, timbul dalam jiwa untuk mengamalkan perbuatan ini dalam kehidupan kita. Namun begitu, bagi kita yang masih kurang mengenali secara dekat apa itu syukur. Mungkin tertanya-tanya beberapa soalan seperti di bawah ini:

·       Apakah yang dimaksudkan dengan syukur?

·       Kenapa kita perlu bersyukur?

·       Apakah kesannya jika kita tidak bersyukur?

·       Bagaimana membentuk diri supaya bersyukur?

·       Adakah contoh kisah-kisah orang yang gemar bersyukur?

·       Apakah tanda-tanda orang yang bersyukur?
Insya-Allah, segala persoalan-persoalan di atas bakal dijawab dalam buku yang ringkas ini. Semoga Allah SWT meletakkan kita dalam golongan orang yang bersyukur.
p/s: Sebuah buku ringkas untuk mengajak kita mendalami apa erti syukur.
0 Komentar untuk "Review Buku | Menyingkap Tirai Syukur | Lambang Sebuah Impian"

Majalah Solusi Digital

Back To Top